PETALING JAYA – Susulan arahan pembubaran sementara Parti pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Tun Dr. Mahathir Mohamad kelihatan sugul dan enggan mengulas mengenainya petang tadi.
Ketika hadir di program Forum Perniagaan dan Ekonomi Kebangsaan dan Majlis Minum Petang bersamanya sebentar tadi, Pengerusi PPBM itu tidak mahu membuat sebarang kenyataan lagi.
Ia berbeza sebelum ini di mana bekas perdana menteri tidak pernah menolak daripada ditanya wartawan.
Selesai majlis itu, wakil-wakil media yang menunggunya untuk mendapatkan reaksi daripadanya, Mahathir meminta mereka menunggu sidang media pihaknya pukul 10 malam ini.
“Saya ada sidang media malam ini jumpa malam ini,” katanya ringkas.
Mahathir sebelum itu menjadi salah seorang panel forum hari ini hanya secara ringkas menyebut tindakan tindakan RoS hari ini akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan.
”Mengumumkan kami sebagai parti yang dibubarkan sementara dengan itu saya tidak dibenarkan mengaitkan diri saya dengan parti itu.
“Mereka mengaitkan kami dengan PH dan ini akan menyebabkan PH tidak dapat didaftar kerana kami salah satu komponen parti,” katanya yang juga Pengerusi PH.
RoS hari ini mengumumkan pembubaran sementara PPBM berdasarkab notis mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal memenuhi tuntutan menyerahkan dokumen yang dikehendaki.
Parti itu tidak dibenarkan membuat apa-apa aktiviti pada masa ini dalam masa yang sama tidak dibenarkan menggunakan sebarang logo dalam tempoh pembubaran.
Parti itu juga diberikan tempoh 30 hari untuk membuat rayuan. -MalaysiaGazette