SETIAP kali tiba raya, kita mesti sibuk menyediakan juadah yang lazat-lazat.

Selain juadah wajib, kita akan tambah juadah khas untuk rumah terbuka dan bagi menjamu saudara dan taulan.

Itu sudah kewajipan dan ikut bajet masing-masing tapi yang pasti rendang ayam ikut selera masyarakat kita – dagingnya sudah tentu lembut bukan ranggup.

Begitu juga setiap kali datang pilihan raya umum dan sebagai tuan rumah (kerajaan sedia ada) sudah pasti menyediakan juadah yang sedap tapi ikut kemampuan.

Justeru, ramai ternanti-nanti apa ‘juadah’ kerajaan Barisan Nasional (BN) kali ini bagi menghadapi PRU-14.

Sabtu malam ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan manifesto itu bagi menghadapi PRU-14 dan ia disusuli manifesto BN di negeri-negeri.

Rata-rata rakyat sudah tentu mahu manifesto yang benar-benar membantu dalam kehidupan seharian bukan sekadar cantik di atas kertas tapi sukar direalisasikan.

Mengulas perkara yang sama, Pengarah Strategik Komunikasi BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membayangkan manifesto BN kali ini lebih komprehensif dan inklusif.

“Ia akan menjanjikan banyak idea-idea baharu untuk memenuhi aspirasi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, manifesto itu mengandungi teras-teras serta inisiatif yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat akan memberikan nikmat dan pulangan kepada mereka.

Ia juga bakal menjanjikan kelebihan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak yang mana Perdana Menteri bakal menawarkan sesuatu yang progresif demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri itu.

“Manifesto ini hendaklah dibaca bersama-sama dokumen Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), bajet tahunan, Program Transformasi Nasional (NTP) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerana ia datang dari roh dan semangat yang sama untuk membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di samping memastikan rakyat menerima limpahan kemajuan dan kemakmuran negara.

“Ia adalah aku janji yang terbaik bagi menterjemahkan usaha BN dalam memperjuangkan nasib rakyat Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat untuk menerajui negara,” katanya.

Rasa-rasanya usaha meringankan beban kos sara hidup menjadi prioriti BN kerana sudah ramai ‘lemas’ akibat harga barang sejak kenaikan harga minyak dunia.

Memang macam-macam sudah dibuat namun kelihatan rakyat masih memerlukan lagi bantuan dalam keadaan sekarang.

Kata bijak pandai, jika makanan cukup di meja, rakyat tidak merana.’

Itu mungkin juadah istimewanya namun seperti hari raya juadah tetap kena ada.

Maknanya, selain kos sara hidup, rakyat mahu melihat juga penambahbaikan dari segi pendidikan, pendapatan, pengangkutan dan kesihatan.

Rakyat juga mengharapkan pembangunan yang bukan sahaja dalam bentuk fizikal malah keperluan sosial, kerohanian, sahsiah dan pembangunan insan.

Kalau ikut kenyataan Perdana Menteri dan timbalannya dalam siri jelajah mereka – ekonomi, agenda bumiputera dan syiar Islam akan diperkasakan.

Selain itu, pembangunan masa depan belia selaras wawasan TN50 juga disebut-sebut.

Tumpuan lain sudah pasti usaha pelaksanaan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Harap-harap ia bukan retorik dan sekadar menabur janji-janji kosong seperti yang diumumkan oleh Pakatan Harapan.

Pembangkang boleh menjanjikan bulan dan bintang untuk manifesto mereka namun semua tahu sukar untuk memenuhinya.

Bak kata orang PRU-14 ini ibu segala PRU, jadi manifesto kena memastikan kepentingan rakyat perlu dipundak.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast