KUALA LUMPUR – Berikutan keputusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan satu logo parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut sumber, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) yang masing-masing mempunyai parti sah disisi perlembagaan, dikatakan bersetuju dengan keputusan PH untuk menggunakan satu lambang iaitu PKR.

Kegagalan PPBM memenuhi syarat ditetapkan ROS menyebabkan parti itu terpaksa dibatalkan dan turut memberi kesan kepada parti komponen PH yang sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Kata sumber, keputusan itu dikatakan tidak disenangi beberapa pemimpin PKR, DAP dan PAN yang sebelum ini bersemangat hendak bertanding dengan lambang parti masing-masing, tetapi terpaksa menerima hakikat kelemahan kawannya iaitu PPBM yang pendaftarannya dibatalkan untuk sementara.

“Pemimpin dari parti komponen ini menyalahkan pengurusan PPBM kerana gagal mematuhi syarat pendaftaran, sedangkan masa untuk parti itu berbuat demikian sebelum ini lebih daripada mencukupi.

“Sekarang, kerana kelemahan pihak PPBM, kita semua (PKR, DAP dan PAN) terpaksa mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kedudukan PPBM dalam pertandingan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, perintah pembubaran sementara itu PPBM itu diberikan peruntukan tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan ROS dan jika ada rayuan serta ditolak, parti itu akan dibatalkan pendaftarannya.

Beliau berkata, dengan perintah itu PPBM tidak boleh menggunakan nama dan logo parti dalam tempoh perintah pembubaran sementara itu, serta tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.

Menurut sumber itu, PH bersetuju menggunakan logo PKR berikutan parti itu yang terbuka kepada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India, berbanding DAP khusus untuk Cina, PAN dan PPBM untuk orang Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast