ALOR SETAR – Jangan salahkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam keputusan pembubaran sementara Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Ahmad Bashah berkata, pemimpin PPBM pernah berada dalam kerajaan dan mereka sepatutnya memahami peraturan serta tugas RoS, semestinya keputusan pembubaran tersebut mempunyai asas.
“Saya dah sebut 22 tahun sebelum ini, Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) pernah salahkan RoS tapi bila duduk bersama pembangkang mereka salahkan RoS pula.
“Kalau tidak cukup syarat, RoS tidak akan beri daftar, UMNO sendiri pernah diharamkan. Mereka terlupa bahawa Mahathir dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri juga pernah berada dalam kerajaan,” kata beliau semasa sidang media selepas taklimat jentera Barisan Nasional (BN) hari ini.
Berhubung kemungkinan PPBM akan meminjam logo parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-14 selepas pembubaran sementara, Ahmad Bashah berkata, pihaknya bersedia untuk menghadapi mana-mana parti dan calon pembangkang memandangkan jentera parti sudah bersiap sedia sepenuhnya.
“Tidak kisah, jika PPBM menggunakan parti PKR sekali pun, BN sedia menghadapi mana-mana calon yang akan diletak pembangkang.
“Matlamat kita adalah untuk memenangi pilihan raya dan mengalahkan calon pembangkang,” ujarnya.
Semalam, RoS mengumumkan pembubaran sementara PPBM berdasarkan notis mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal memenuhi tuntutan menyerahkan dokumen yang dikehendaki.
Parti itu tidak dibenarkan membuat apa-apa aktiviti pada masa ini dalam masa yang sama tidak dibenarkan menggunakan sebarang logo dalam tempoh pembubaran itu.
Parti itu juga diberikan tempoh 30 hari untuk membuat rayuan. – MalaysiaGazette