ALOR SETAR – Sekumpulan ahli akar umbi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah mengumumkan keputusan keluar parti selepas penggantungan sementara parti tersebut oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Mereka mendesak pemimpin utama parti itu supaya meletak jawatan kerana gagal menguruskan parti dengan baik.
Jurucakap kumpulan tersebut, Shukor Samsuddin berkata, mereka kecewa dengan tiga pemimpin utama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana gagal menjaga hal ehwal parti sendiri tapi sibuk menghentam parti lawan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Kami amat kecewa serta marah dengan kepimpinan PPBM sendiri.
“Saban malam kami melihat kepimpinan Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz menghentam pihak lawan namun rumah sendiri tidak pula dijaga,” kata beliau semasa sidang media hari ini yang dihadiri kira-kira 10 ahli parti dari Pendang.
Keputusan yang dibuat oleh RoS semalam menyebabkan mereka kini berasa malu apabila tidak ada parti lagi, kata beliau.
“Mana kami nak letak muka di kampung kami, muka kami setebal muka pemimpin PPBM yang sedang perbodohkan ahli di seluruh negara.
“Kami kini adalah bekas ahli PPBM Kedah dan tanpa perlu lagi kami keluar dari parti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shukor turut mendesak supaya pimpinan parti meminta maaf secara terbuka kepada ahli parti kerana kegagalan mereka mengendalikan hal ehwal parti sehingga menyebabkan ia diharamkan.
“Kami menuntut, Tun Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz, Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja parti meminta maaf secara terbuka kepada seluruh ahli parti,” katanya.
Pengumuman pembubaran sementara PPBM adalah berdasarkan notis mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal memenuhi tuntutan menyerahkan dokumen yang dikehendaki.
Parti itu tidak dibenarkan membuat apa-apa aktiviti pada masa ini dan dalam masa sama tidak dibenarkan menggunakan sebarang logo.
Parti itu juga diberikan tempoh 30 hari untuk mengemukan rayuan. – MalaysiaGazette