Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad.

GOLD COAST – Siapa sangka, baju yang sama dipakai Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhamad Aznil Bidin membawa tuah sehingga kedua-dua mereka mendapat pingat emas dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel semalam.

Baju yang dipakai secara bergilir-gilir itu adalah milik pengurus mereka sendiri Amirul Hamizan Ibrahim ketika memenangi emas di acara yang sama di Manchester pada tahun 2002.

Kedua-dua atlet muda negara bergilir-gilir memakai baju biru dan hitam milik Amirul Hamizan sebelum masing-masing meraih emas dalam acara 56 kilogram (kg) dan 62 kg lelaki.

“Sudah lama atlet minta dengan saya baju yang saya pakai masa di Manchester itu tapi saya simpan. Berbeza dengan kali ini, saya bagi Azroy pinjam dan saya sendiri pun tidak tahu yang Aznil pun akan pakai baju itu,” katanya kepada Bernama di Carrara Sports and Leisure Centre.

Baju tersebut dipakai Amirul Hamizan ketika melakukan angkatan seberat 260kg di Manchester, yang juga rekod kejohanan selama 16 tahun sebelum dipadamkan oleh Azroy Hazal Wafie, semalam.

Azroy Hazal Wafie memakai baju milik Amirul Hamizan itu pada pertandingan sesi pagi seterusnya pada sesi petang, Muhamad Aznil pula mengambil peluang mengenakan baju itu.

“Saya tengok baju tu ada dalam beg Azroy Hazal Wafie lepas dia menang, jadi saya pun ambil dan pakai. Kalau Azroy pakai boleh menang pingat emas masa pakai baju itu, apa salahnya kalau saya cuba nasib.

“Bagi saya boleh pakai baju juara yang juga idola kami semua seperti kami dapat semangat serta aura juara beliau,” kata Muhammad Aznil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast