Itu kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil berkata, hasrat kerajaan secara terang-terangan tidak berniat mengembalikan keperluan perkenan Di Raja atau Yang DiPertuan Agong sebelum sesebuah rang undang-undang itu menjadi akta boleh mengundang kepada salah guna kuasa.
“Pada hari-hari terakhir Parlimen ke-13, Menteri UMNO, Datuk Seri Azalina Othman menyebut hasrat kerajaan itu dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat. Berasaskan perlembagaan sedia ada, perkenan di Raja tidak mandatori,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Contoh paling teruk, menurut Anwar, adalah pewartaan Akta Majlis Keselamatan Negara walaupun Majlis Raja-Raja berpendapat beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang tersebut perlu diperhalusi.
Awal tahun ini, Anwar telah memfailkan tindakan mahkamah terhadap kerajaan di Mahkamah Persekutuan untuk memulangkan keperluan mandatori bagi perkenan Di-Raja, dengan memansuhkan Fasal 66(4) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan sesuatu RUU menjadi akta secara otomatik selepas 30 hari, walaupun Yang Di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan.
“Saya berasa jijik mendengar kemunafikan pihak yang berkata kononnya mereka yang mempertahan Institusi raja-raja tetapi kerajaan UMNO BN melalui peguam-peguamnya yang melawan habis-habisan tindakan mahkamah yang saya mulakan ini.
“Saya tekankan pendirian dan komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahan integriti Perlembagaan Persekutuan dan memelihara kedudukan Institusi raja-raja dalam kerangka perlembagaan kita.
“Kerajaan PH akan melihat kembali isu ini dengan niat meminda Perlembagaan demi mengembalikan keseimbangan keperlembagaan seperti yang diniatkan sewaktu merdeka dan demi mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.