Barisan pelakon filem Dukun pada tayangan filem itu di Panggung Wayang TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 04 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Filem kontroversi, Dukun mencatat sejarah buat syarikat penerbitannya apabila meraih kutipan tertinggi kira-kira RM1.5 juta pada hari pertama tayangannya, kelmarin.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata jumlah yang diperoleh daripada 120 pawagam seluruh negara dan Brunei itu adalah yang tertinggi bagi filem terbitan serta edaran syarikat berkenaan.

 “Astro Shaw berbesar hati mengumumkan filem Dukun membuka tayangan hari pertama di pawagam dengan catatan manis bersama kutipan menghampiri angka RM1.5 juta.

“Kami juga menerima berita baik daripada pihak pempamer apabila adanya penambahan lokasi tayangan, dengan jumlah keseluruhan 133 pawagam setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bersandarkan rekod, kutipan pembukaan filem sulung arahan Dain Said itu hampir menyamai pungutan hari pertama KL Gangster sebanyak RM1.6 juta.

Filem aksi berkenaan diterbitkan oleh Skop Productions pada 2011.

Terdahulu, naskhah lakonan Datin Seri Umie Aida, Faizal Hussein, Namron, Bront Palarae dan Hasnul Rahmat ini mencetuskan kontroversi sejak disiapkan 12 tahun lalu apabila kononnya ia sarat unsur ganas, khurafat dan menyinggung sensitiviti sesetengah pihak.

Ekoran kontroversi dan pelbagai spekulasi yang timbul, tayangan Dukun dikatakan ditunda beberapa kali sebelum menemui penonton bermula semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast