Aksi penyerang Faizal Saari ketika Malaysia bertemu Wales pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia sebentar tadi.

GOLD COAST – Skuad hoki lelaki negara bangkit merebut tiga mata pertama  apabila menang 3-0 keatas Wales dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia hari ini.

Ternyata kekalahan pada aksi pembukaan kepada England tidak mematahkan semangat skuad bimbingan jurulatih Stephen Van Huizen untuk menjaringkan tiga gol di Gold Coast Hockey Stadium.

Pasukan negara diceriakan dengan gol pertama milik Fitri Saari melalui pukulan penalti stroke pada minit ke-19.

Malaysia yang mula diberikan harapan dengan gol pertama itu, terus mempamerkan aksi cemerlang apabila Joel Van Huizen yang seterusnya menggandakan jaringan Malaysia pada minit ke-36 melalui pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan prestasi pasukan negara, Wales cuba bangkit, namun gagal mengawal pergerakan penyerang hoki negara, Faizal Saari yang meledakkan gol pihak lawan pada minit ke-55 melalui pukulan padang.

Pada perlawanan pertama semalam, Malaysia kalah 7-0 kepada England.

Malaysia yang berada di kedudukan ke-12 dunia akan bertemu pasukan keenam dunia, India dan Pakistan  (no. 13 dunia) pada 10 dan 11 April ini.  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast