Muhammad Khalil
Muhammad Khalil

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyelar pandangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berhasrat membatalkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sayap Pas itu menyifatkan sikap Mahathir itu seolah menunjukkan beliau berdendam pada rakyat di negeri Pantai Timur yang ternyata telah berlaku sejak zamannya menjadi Perdana Menteri lagi.

Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Pas berpengalaman dicengkam ekonomi dan ditarik subsidi minyak di Kelantan dan Terengganu ketika zaman pemerintahan beliau.

Katanya, rekod pengkhianatan kepada rakyat Pantai Timur tidak berakhir begitu sahaja, sekali lagi sewaktu pemerintahannya Mahathir dengan sengaja menyekat pemberian ikut kepala kepada kerajaan Kelantan.

“Pemberian ini sepatutnya dibayar kembali kepada kerajaan negeri kerana ia adalah hasil kutipan cukai dari rakyat negeri tersebut.

“Namun, dendam kesumat Tun Mahathir mengatasi segalanya. Beliau lebih berselera menjadikan rakyat Pantai Timur sebagai mangsa nafsu peribadi akibat kegagalan agenda politik beliau dahulu,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, kini Mahathir meluahkan hasrat untuk membatalkan pembinaan projek ECRL yang sedang giat dijalankan.

Ujarnya, pembinaan yang bertujuan menghubungkan pelabuhan utama di Pantai Barat dengan Pantai Timur itu sepatutnya dilihat daripada aspek makro dan bukan atas sentimen politik.

“Sememangnya projek infrastruktur berimpak tinggi ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari aspek kesalinghubungan antara kawasan industri, peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pendidikan, pengkomersialan barang dagangan, di samping menawarkan perjalanan alternatif kepada rakyat.

“Pas kekal berpendirian untuk bersama membangun ekonomi rakyat khususnya di Wilayah ECER yang mewakili 51 peratus daripada Semenanjung Malaysia, di samping Pas juga melihat Pelaburan Langsung Asing (FDI) baik untuk, bukan sahaja silang-ilmu dan kepakaran, tetapi juga memberi kebaikan bagi aliran ekonomi negara dan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, walaupun bersetuju dengan pembangunan ECER, Pas menekankan perlunya berbelanja secara berhemah, telus dan tiada ketirisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast