Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diiringi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mangsor membaca dan menunjukkan buku manifesto pada Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 APRIL 2018
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan mempertaruhkan pertandingan peribadi antara beliau menentang Ketua Pembangkang.
Malah Perdana Menteri turut menegaskan, PRU14 juga bukan pertandingan gabungan 16 parti dalam Barisan Nasional (BN) menentang parti pembangkang.
Sebaliknya Pengerusi BN itu menganggap pilihan raya akan datang sebagai penentu destini dan hala tuju masa depan Malaysia dan anak cucu rakyat.
“Perhimpunan ini bukanlah perhimpunan biasa-biasa saja, bahkan merupakan perhimpunan keramat yang bakal dikenang dan ditanda sejarah.
“BN akan terus perjuang untung nasib setiap rakyat Malaysia tidak kira keturunan, bangsa, agama mahupun darjat mahupun warna kulit,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Manifesto BN di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini.
Antara yang hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi; Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin; Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup dan Pengerusi MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.
Lebih 12,000 penyokong BN seluruh negara berada dalam stadium dan dianggarkan 40,000 penyokong lain berada di luar.
Sementara itu, Najib berkata, beliau tidak menyangka begitu ramai penyokong BN yang hadir pada malam jni.
Ini kerana jelasnya, lima tahun lalu pada majlis sama, jumlah kehadiran tidak seramai seperti malam ini.
Dalam pada itu, manifesto yang bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ bersifat inklusif apabila menyentuh seluruh lapisan masyarakat menerusi 14 teras dan 364 inisiatif yang digariskan.
Antara yang menerima manfaat adalah penduduk luar bandar termasuk warga Felda, pelajar, belia, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesara dan wanita.
Inisiatif yang ditawarkan termasuk pemberian kad diskaun perjalanan bagi pengangkutan awam kepada warga emas, golongan OKU, pelajar dan belia yang bekerja.
Turut terkandung dalam manifesto itu adalah inisiatif membantu rakyat membeli rumah pada harga berpatutan, memperkukuhkan lagi persefahaman antara kaum dan agama serta mewujudkan mekanisme baharu untuk rakyat menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.
Tidak ketinggalan, penduduk di Sabah dan Sarawak juga akan menerima manfaat melalui usaha kerajaan mempertingkatkan tahap pendidikan di dua negeri itu serta langkah penyeragaman harga barangan tertentu dengan Semenanjung Malaysia.
Berikut adalah 14 teras yang terkandung dalam Manifesto BN:
1. Ekonomi Keperluan Rakyat
2. Kemampanan dan Kemakmuran Ekonomi Negara
3. Perumahan Keperluan Rakyat
4. Pemacuan Modal Insan dan Kecemerlangan Pendidikan
5. Keselamatan Rakyat Keutamaan Kami
6. Membahagia dan Menjayakan Wanita Negara
7. Generasi Muda Pewaris Masa Hadapan
8. Kesejahteraan Generasi Emas dan Warga Kelainan Upaya
9. Memperkukuhkan Pembinaan Negara Bangsa
10. Mengutamakan Kesejahteraan Sosial dan Kualiti Hidup Rakyat
11. Membina Infra Rakyat dan Meningkatkan Kesalinghubungan
12. Memperkukuh Agenda Bumiputera dan Mempertahan Kesyumulan Islam
13. Tadbir Urus Yang Baik dan Penyertaan Rakyat
14. Meraikan Perbezaan, Merapatkan Jurang – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast