KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dicabar untuk merujuk tindakan yang diambil terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain yakin hakim akan berpendirian pembubaran sementara parti itu tidak menepati Perlembagaan Persekutuan.
“Saya cabar RoS pergi tanya hakim persekutuan apa hakim akan mentafsirkan tindakan kerajaan terhadap PPBM?
“Hakim akan kata ini tidak ikut semangat berperlembagaan, kerajaan tidak memberi ruang dan peluang, tolak ansur bantuan, sebaliknya melengah-lengahkan menyekat kehendak dan keperluan rakyat mahu tubuh parti,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Jelas Ahmah Atory, kerajaan sepatutnya memudahkan urusan mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik untuk tujuan bertanding dalam pilihan raya umum.
“Kerajaan tidak berfungsi kepada semangat perlembagaan. Walaupun tidak menepati ada yang tidak lengkap kena dibantu dan kerajaan yang memerintah mestilah memberi ruang dan peluang, bertoleransi, membantu rakyatnya yang mahu belibatkan diri dalam politik, menubuhkan parti jangan disekat, tapi kerajaan tidak buat begitu,” ujar Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia itu lagi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai arahan pembubaran sementara yang diarahkan oleh RoS kepada PPBM kerana gagal mengemukakan dokumen yang diminta.
Berikutan masalah dihadapi PPBM itu, permohonan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) juga tidak dapat diproses dan diteruskan.
Atory kemudian menyifatkan penggunaan logo PKR oleh semua komponen parti PH akan memberikan kesan negatif apabila berisiko mengelirukan pengundi terhadap calon yang dipertandingkan gabungan tersebut. – MalaysiaGazette