Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui ada dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong tegarnya tidak bersetuju dengan keputusan parti menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, beliau menyedari perkara itu dan meminta pihak berkenaan memberi kepercayaan kepada pucuk kepimpinan mengenai perancangan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding atas satu logo berbanding sebelum ini setiap parti menggunakan lambang masing-masing.

“Saya merayu kepada ahli-ahli DAP tegar dan penyokong untuk mempercayai pemimpin DAP yang membuat keputusan menggunakan logo PKR, bukan logo PH,” katanya yang menolak dakwaan kononnya ada usaha untuk mengkhianati objektif DAP.

Kata Kit Siang, ia bukan tujuan mengkhianati parti, tetapi sebagai usaha untuk mencapai impian PH menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 ini.

Beliau menjelaskan, keputusan untuk menggunakan logo PKR juga mencatatkan sejarah penubuhan 52 tahun DAP yang selama ini sudah biasa dengan lambang roket.

“Memang agak sukar dan menyakitkan hati DAP tidak guna logo roket pada PRU14 ini, tetapi lebih sukar apabila melihat beberapa pemimpin secara peribadi menumpahkan air mata dengan keputusan ini.

“Sehingga hari ini pun, walaupun Setiausaha Agung (Lim Guan Eng) mengumumkan keputusan itu, masih ramai ahli dan penyokong DAP yang tegar tidak dapat menerimanya.

“Mereka masih merasakan kesakitan dan penderitaan dengan keputusan parti tidak menggunakan lambang roket dalam pilihan raya umum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast