KUALA LUMPUR – Pas mendakwa manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi, gagal memberi fokus kepada Islam dan Melayu.
Ahli Parlimen Pas-Kuala Nerus, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata, berbeza dengan Pas yang menawarkan manifesto yang lengkap merangkumi kepentingan Islam, Melayu dan warga B40.
Katanya, manifesto Pas juga lengkap dengan tadbir urus Rabbani, keperluan hidup rakyat melibatkan kediaman dan kenderaan, program tambah nilai pendapatan boleh guna rakyat, keselamatan dan kesihatan.
“Manifesto BN gagal memberi fokus kepada Islam dan Melayu. Memperluaskan sistem dwi-bahasa yang nanti meminggirkan bahasa Melayu. Gagal juga memberi fokus kepada menangani isu ketirisan.
“BN gagal menghapuskan cukai yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup rakyat. Hanya mengulang apa yang telah dibuat dengan retorik yang berbeza,” katanya di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan, manifesto Pakatan Harapan (PH) juga gagal memberi tawaran untuk Islam, selain tidak mempunyai pelan untuk mendapatkan pendapatan negara sebagai alternatif GST.
Dr. Khairuddin berkata, beliau yakin rakyat bersedia untuk beralih kepada Pas pada pilihan raya umum ini bagi menggantikan UMNO.
“Pas bertanding sekurang-kurangnya di 88 kerusi Parlimen berhadapan dengan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette