KUALA LUMPUR – Pas menyeru kepada semua ahli dan penyokongnya supaya tidak mempercayai sebarang fitnah yang sedang galak dicetuskan oleh pihak lawan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya menjangkakan fitnah akan terus dicipta untuk mencetus persepsi buruk kepada Pas sehingga ke hari pembuangan undi.
“Justeru, jangan sekali-kali terpedaya dengan taktik buruk dan jahat pihak lawan politik Pas yang melempar fitnah, persepsi dan pra sangka tanpa asas serta bukti dalam usaha mereka menghakis kepercayaan ramai kepada Pas.
“Kesungguhan mereka mencipta aneka fitnah ini kerana kebimbangan melampau terhadap pengaruh Pas yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Menurut Nasrudin, Pas Pusat telah meluluskan permohonan ahli baru melibatkan seramai 1,894 orang sepanjang bulan ini sahaja.
Malah, katanya, beliau yakin sokongan terhadap perjuangan Pas akan terus meningkat setelah mereka muak dengan politik fitnah dan desprado pihak tertentu. – MalaysiaGazette