Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah)

KUALA LUMPUR – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak bukan janji pilihan raya yang ‘auta’ semata-mata sebaliknya ia diyakini mampu ditunaikan kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, manifesto BN dihasilkan menerusi kaji selidik yang teliti dan bukan sekadar sedap didengar seperti mana yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau kita nak bandingkan Manifesto BN sebelah sana (PH), kita punya tidak auta, kita punya fakta, bukan auta.

“Datuk Seri Najib dengan pasukan untuk manifesto ini mengkaji dengan teliti sama ada kita boleh tunaikan atau tidak.

“Manifesto ini bukan hentam saja, hanya nak gula-gula saja, dan sedap dengar halwa telinga. Ini adalah hasil kajian mendalam beberapa bulan,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik Wanita UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) mempengerusi Mesyuarat Biro Politik Wanita UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Shahrizat berkata, pakatan pembangkang banyak meniru dan hanya menukar ‘kulit’ daripada semua inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan BN sebelum ini.

“Sebelah sana banyak karut dan auta, lagi pun mereka banyak copy daripada kita yang buat, dia tukar nama sikit, kita dah buat pun, dia (pembangkang) hanya popularkan sikit.

“KISS tak KISS, macam-macam walhal kita sudah KISS lama di mana banyak program serta bantuan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan pusat,” katanya.

Katanya, Manifesto BN bukan ‘janji kosong’ sebaliknya kesemua teras janji pilihan raya diyakini mampu direalisasikan seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini.

“Ini (manifesto) insya-Allah apabila BN menang, kita boleh deliver. Ini bukan auta punya (manifesto).

“Insya-Allah kalau kita dapat sokongan daripada rakyat, akujanji kita dapat diimlementasikan.

“Ini kerana ia (manifesto) berasaskan kaji selidik dan kemampuan kita sebagai satu negara di bawah kepimpinan dan pentadbiran BN.

“Saya yakin pada akhirnya rakyat Malaysia akan memilih kepimpinan Datuk Seri Najib,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast