KUALA LUMPUR – Pasaran tempatan menunjukkan maklum balas positif terhadap manifesto Barisan Nasional (BN).
Bursa Malaysia berada pada 1,847.70 mata, naik 10.69 mata sebelum dagangan ditutup tengah hari tadi.
Penganalisis pasaran tempatan, Nazzary Rosli berkata, pasaran tempatan mungkin melonjak ke paras yang lebih tinggi lagi jika tidak dipengaruhi oleh sentimen di Wall Street.
Saham-saham New York merudum pada Jumaat lalu kerana bimbang potensi peningkatan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, selain penurunan data pekerjaan.
Dow Jones susut 572.46 mata kepada 23,932.76 mata manakala S&P jatuh 2.2 peratus kepada 2,604.47, menyaksikan prestasi terburuk dalam sektor industri. Nasdaq Composit juga menurun 2.3 peratus untuk ditutup kepada 6,915.11.
Nazzary berkata, dengan kejatuhan saham New York pada Jumaat lalu, kebiasaannya Malaysia juga berisiko terkena tempiasnya tetapi ia tidak berlaku dalam dagangan hari ini.
“Sebaliknya, pasaran tempatan positif,” katanya di sini.
BN melancarkan manifesto pada malam Sabtu lalu dengan memberi fokus kepada wanita, gaji minimum, Felda, pekebun-pekebun, pendidikan, generasi muda, pasukan keselamatan dan isi rumah berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan tambahan dalam pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah bergaji antara RM4,000 hingga RM5,000, yang akan menerima pembayaran keseluruhan sebanyak RM700 yang dibayar dua kali pada bulan Jun dan Ogos.
Isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan menerima tambahan RM800 menjadikan jumlah bantuan yang diterima sebanyak RM2,000 manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 pemberian BR1M pada Jun dan Ogos akan digandakan kepada RM600.
Bagi individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, pemberian BR1M akan ditambah RM150 menjadikan jumlah keseluruhan RM650.
Sementara itu, CIMB IB Research menjangkakan pasaran saham tempatan kekal turun naik sepanjang kempen pilihan raya nanti kerana ketegangan dalam perang dagangan Amerika Syarikat-China.
Dalam laporannya, CIMB Research berkata, pasaran menjangkakan parti kerajaan pemerintah – Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti selesa bagi kerusi Parlimen.
Pada masa ini BN menguasai 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
Menurut CIMB Research, prestasi pasaran saham pasca pilihan raya bergantung kepada tekanan jualan semasa tempoh kempen dan keputusan undi. – MalaysiaGazette