KUALA LUMPUR – Filem kontroversi, Dukun terus menggegarkan pawagam dengan kutipan tiket lebih RM6.2 juta selepas empat hari ditayangkan di Malaysia dan Brunei.
Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar memberitahu, filem arahan Dain Said itu mencatat sejarah apabila ditayang 34 kali sehari oleh pemilik pawagam berdasarkan sambutan baik penonton.
“Malah, filem ini menduduki tangga pertama carta pawagam mengatasi filem antarabangsa.
“Terima kasih atas sokongan ‘kaki wayang’ yang turun ke pawagam. Tidak terkecuali artis yang tanpa berbelah bagi berkongsi pengalaman mereka menonton filem ini menerusi laman sosial,” katanya kepada BH Online.
Antara artis yang berkongsi sokongan terhadap filem Dukun adalah Nabila Huda, Azhan Rani dan Fathia Latiff.
Selain itu, promosi awal filem terbabit melalui penyebaran klip video perempuan menggayakan kebaya merah seminggu sebelum Dukun ditayangkan, ditonton lebih 30 juta kali.
Najwa berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan inisiatif semua pihak dan menyarankan mereka yang belum menonton filem terbabit supaya tidak bertangguh lagi.
Selepas 12 tahun terperap, filem kontroversi yang dikatakan mendapat ilham daripada kisah benar itu, mula menemui penonton 5 April lalu di 133 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei.
Antara lain, dukun mengisahkan seorang ahli politik, Datuk Jefri, lakonan Adlin Aman Ramlie yang meminta khidmat Diana (Datin Seri Umie Aida) menjadikan dirinya kebal selain mahu kerjaya politik cerah.
Selain Umie dan Adlin, barisan pelakon yang memantapkan kisah mendebarkan itu termasuk Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana dan Faizal Hussein. – MalaysiaGazette