Huang Ying How.

GOLD COAST – Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel 2018, Huang Ying How belum mahu mengaku panik dengan pencapaian atlet negara setakat ini yang baru mengutip dua emas dan dua gangsa untuk berada di kedudukan ke-11 keseluruhan.

Kontinjen negara  sebelum itu menyasarkan 10 kelompok terbaik dengan sekurang-kurangnya tujuh pingat emas untuk menandingi pencapaian enam pingat emas pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Setakat ini, Malaysia sudah kehilangan dua pingat emas tradisi menerusi acara badminton berpasukan campuran selepas skuad badminton negara tewas 1-3 kepada India dan juga menerusi acara skuasy apabila Datuk Nicol David gagal mempertahankan emas acara perseorangan wanita.

“Tidak (belum panik). Kita masih di pertengahan jalan dan saya pernah cakap sebelum ini bahawa ada dua pasukan iaitu England dan India dan malam ini India telah atasi Malaysia dan ini tidak semestinya persembahan tidak memuaskan.

 “Walaupun India menang malam ini, tapi kita masih ada lagi lima acara dan peluang untuk dapat dua atau tiga pingat dan harapan saya memang emas untuk badminton.

“Selain itu, kita masih ada peluang dalam acara terjun dan boling padang…begitu juga skuasy yang sedang berlangsung. Atlet negara akan cuba dapatkan pingat untuk kontinjen Malaysia,” katanya.

Pada edisi di Glasgow, kontinjen negara menduduki tangga ke-12 dengan enam emas, tujuh perak dan enam pingat gangsa.

Setakat ini, skuad berbasikal negara telah menamatkan cabaran dan pulang dengan tangan kosong berbanding di Glasgow, dengan satu gangsa menerusi Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast