Eddie (kiri) bergambar kenangan bersama pelanggannya Allahyarham Kamarulzaman yang dikenali sebagai Man Bas sebelum kejadian.

KUALA LUMPUR – “Assalamualaikum… Abang Man sihat?

“Waalaikumussalam… Abg Man xde dah…”

Demikian pertanyaan rutin seorang ejen insuran yang mahu dikenali sebagai Eddie PruBsn kepada setiap pelanggannya untuk bertanyakan keadaan dan kesihatan.

Menurutnya, apabila tiba giliran pelanggan bernama Kamarulzaman Safri, beliau dimaklumkan pelanggan itu sudah meninggal dunia akibat ditembak dan mayatnya ditemui di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik – Kupang, semalam.

Beliau yang terkejut dengan berita itu tidak dapat meneruskan pertanyaan, sebaliknya sedih apabila mendapat tahu pelanggannya meninggal dunia dalam keadaan tragis.

“Allahu Akbar… Innalilahiwainnailaihirojiun..kenapalah kejam sangat. Semoga roh Abg Man ditempatkan bersama orang yang beriman. Arwah insan yang sangat baik (dan) suka bantu orang. Allah lebih sayangkan dia. Al-Fatihah,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Ketika dijumpai, mayat itu masih lengkap berpakaian. Terdapat sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat tersebut.

Menurut Eddie, beliau mengenali Allahyarham Kamarulzaman yang lebih dikenalinya sebagai Man Bas lebih tujuh tahun lalu.

“Sungguh tidak sangka, pertanyaan khabar saya melalui aplikasi Whatsapp, mendapat khabar duka,” katanya sedih.

Semalam, media melaporkan orang awam menemukan mayat seorang lelaki dengan kesan tembakan di kepala, dada dan perut di kawasan Ladang Sungai Rui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman berkata, mayat lelaki tempatan berusia 38 tahun itu dijumpai kira-kira jam 4 petang hasil maklumat orang awam.

Katanya, selain mangsa turut dijumpai berhampiran mayat tersebut adalah tiga butir kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Ketika dijumpai, mayat itu masih lengkap berpakaian. Terdapat sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat tersebut.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan hasilnya mendapati Kamarulzaman mati akibat tembakan di bahagian kepala.

Siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast