KUALA LUMPUR – Bagi mengiktiraf peranan para wartawan dan pengamal media di negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tanggal 29 Mei digazetkan sebagai Hari Wartawan Nasional.
“Sebagai mengiktiraf peranan para wartawan dalam mencorak dan membentuk minda masyarakat, maka kerajaan telah menerima cadangan proklamasi supaya Hari Wartawan Nasional atau ringkasnya Hawana, disambut pada 29 Mei di setiap tahun,” katanya dalam ucapan pelancaran Hari Wartawan Nasional di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade hari ini.
Hari Wartawan Nasional atau singkatannya Hawana diwartakan bagi memperingati jasa dan maklumat yang disampaikan oleh para wartawan dan pengamal media.
Tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Dalam pada itu , Najib berkata, kerajaan sentiasa memberi ruang kepada kebebasan bersuara menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
“Pemimpin yang ‘pernah memerintah 22 tahun itu’ juga turut dikecam Jawatankuasa Melindung Wartawan di peringkat dunia sebagai salah seorang daripada 10 enemies of the press, pada 3 tahun berturut iaitu di tahun 1999, 2000 dan 2001,” ujar beliau.
Najib juga turut menggariskan tiga teraa utama bagi memastikan para wartawan dan pengamal media terus di landasan kebebasan bersuara yang sebenar.
“Kebebasan bersuara media itu haruslah disemai dengan sifat tanggungjawab. Kedua, kebebasan media itu haruslah berasaskan kepada kebenaran, hendaklah diketahui, sebelum sesuatu berita atau maklumat itu disiar dan disebarkan, akan memastikan kebenaran dan kesahihan sumbernya terlebih dahulu,” katanya lagi.
Malah Najib juga berkata para wartawan dan pengamal media perlu mengikut tafsiran citra dan budaya tempatan serta bukan mengikut citarasa dari Barat. – MalaysiaGazette