shaiful hazizy
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR – Pemuda UMNO Kedah mencabar bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan tidak sekadar membuat serangan yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan.

Ketua Pemudanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tuduhan dibuat oleh Rafidah berhubung aset tanah ketenteraan negara sebagai tidak berasas dan berfakta.

Malah jawapan diberikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sudah merungkai segala tuduhan dibuat terhadap kerajaan yang sama sekali tidak menyeleweng, katanya.

“Soalan dan konon-kononnya pendedahan TS Rafidah sudah dijawab dengan kemas dan tuntas oleh YB Menteri dan Kementerian Pertahanan.

“Tuduhan Rafidah tidak berasas langsung malah layak dianggap sebagai “penipuan fakta” yang sangat ketara,” katanya dalam satu kenyataan.

Shaiful membidas Rafidah sebagai tersepit apabila masih cuba memainkan isu tersebut sebagai modal menghentam kerajaan dan mencabarnya untuk bertanding dalam pilihan raya umjm jika beliau masih mahu menyerang kerajaan.

“Rafidah pada hakikatnya tersepit dan terhimpit dengan penipuan fakta yang beliau ciptakan sendiri. Tidak ada asas yang mewajarkan isu ini diteruskan.

“Ruang paling baik bagi menutup malu dan aib penipuan ini adalah untuk Rafidah menawarkan diri bertanding dalam PRU ke-14. Rafidah berpeluang melihat sendiri bagaimana rakyat akan menolak bekas pemimpin yang gemar menipu dan mengelirukan rakyat,” ujarnya.

Menurut Shaiful, kerajaan tidak perlu melayan serangan Rafidah, sebaliknya menfokuskan ke arah menjaga kepentingan rakyat.

Rafidah baru-baru ini mendakwa kerajaan membentangkan rancangan untuk memajak ribuan hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dan tentera kepada sebuah syarikat swasta milik 3 individu.

Kementerian Pertahanan menafikan dakwaannya, mengatakan rancangan pembangunan di tanah milik tentera dilaksanakan mengikut prosedur.

Rafidah juga menunjukkan sokongan secara terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi enggan mengatakan sama ada beliau akan mengikut jejak langkah bos lamanya itu menyertai PPBM, parti serpihan yang ditubuhkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.