KUALA LUMPUR – Pas menafikan laporan sebuah portal pro pembangkang yang mendakwa, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengekalkan sumpah taklik cerai talak tiga kepada calonnya di Kelantan.
Menurut Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Abdul Malik Ab. Razak, jawapan sebenar Abdul Hadi ketika menjawab soalan wartawan dalam satu majlis di Melaka Isnin lepas ialah jika Majlis Syura Ulama membuat keputusan yang sama baiah akan diteruskan.
Menurutnya, Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, sebagai menjawab soalan berkenaan baiah satu daripada syarat dalam politik Islam.
“Bahkan, baiah ada penambahbaikan mengikut keadaan kesesuaian masa dan keadaan, tetapi bila ditanya mengenai talak tiga, Presiden menjawab, itu berkait dengan sebab yang khusus di Kelantan.
“Itu bukan benda yang tetap, tidak. Dasar umumnya ialah baiah setia kepada dasar matlamat Pas, tak khianat,” katanya memperbetulkan kenyataan Abdul Hadi yang didakwa disalah lapor oleh sebuah portal.
Abdul Malik merujuk kepada berita yang disiarkan oleh portal berkenaan semalam bertajuk, “Hadi: Baiah taklik di Kelantan kekal” sebagai berita yang disalahtafsir daripada maksud sebenar Presiden Pas.
Menurut beliau, Abdul Hadi tidak pun menyebut akan mengekalkan baiah talak tiga di Kelantan pada PRU-14, sebaliknya hanya menyatakan secara umum baiah akan diteruskan dan soal talak tiga akan dilihat sebabnya secara khusus dan ia tidak tetap dan boleh berubah mengikut kesesuaian semasa.
“Kesimpulan yang dibuat oleh portal berkenaan tersasar dengan menggambarkan apa yang tidak disebutkan oleh Presiden Pas,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini. – MalaysiaGazette