Home Nasional Jangan pasang bendera parti pada tiang elektrik, premis TNB

Jangan pasang bendera parti pada tiang elektrik, premis TNB

Penduduk, Mazlan Yusop, 48, membawa bendera parti Barisan Nasional untuk dipasang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan PPR Pantai Ria, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK. Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi mengingatkan semua parti politik agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik miliknya.

Larangan ini termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

Menurut Ketua Pegawai Korporat, Datuk Roslan Ab Rahman, perbuatan ini amat berbahaya dan berisiko mengakibatkan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang bukan sahaja boleh merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa.

“Pemasangan yang menghalang anggota kerja TNB untuk mendapat akses, meyukarkan kerja-kerja mereka diinstalasi TNB akan sedikit sebanyak menganggu kelicinan tugas kami khususnya ketika menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan,” jelas Roslan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai akan bahaya memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana pepasangan elektrik kerana ia boleh menarik arus elektrik dan menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

“Justeru kami memohon kerjasama semua pihak supaya tidak memasang sebarang bahan kempen pada atau berhampiran mana-mana pepasangan elektrik bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” kata Roslan.

Di bawah peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), pelaku boleh didakwa dan jika didapati bersalah, akan didenda.

Katanya, TNB menerusi rondaan rutin akan menurunkan bahan kempen pilihan raya, yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

Roslan turut menasihatkan orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, supaya menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar TNB boleh mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast