KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang diumumkan sebagai calon Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini tidak menjangka kerusi itu selamat berbanding Temerloh yang dimenanginya pada PRU13.
Katanya, jika ada dakwaan beliau ‘lari’ ke kawasan selamat, itu tidak benar kerana calon Pas bakal berdepan dengan tokoh hebat dari parti saingan, terutama di Indera Mahkota.
“Saya tidak menjangkakan Indera Mahkota lebih ‘selamat’ berbanding Temerloh untuk saya meninggalkannya atas faktor ‘kerusi selamat’.
“Bahkan ada yang mengkategorikan saya sebagai calon underdog di Indera Mahkota. Segalanya saya serah kepada Allah dalam menentukan natijah atau keputusan dari segala tindakan yang diambil,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Nasrudin yang juga penyandang Parlimen Temerloh bertanding di Parlimen Indera Mahkota bagi menghadapi calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Malam sebelum itu, Parti Amanah Negara (PAN) mengumumkan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir bertanding di Temerloh.
Mengulas mengenai Parlimen Temerloh yang akan ditinggalkannya, Nasrudin berkata, kerusi itu diserahkan kepada calon yang lebih baik.
“Insya-Allah beliau (calon Temerloh) mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan apabila parti menampilkan calon pemastautin di bumi Temerloh sendiri.
“Segala kelemahan dan kekurangan akan diperbaiki. Sementara apa yang baik tentu sahaja akan diteruskan apabila Pas mengambil langkah positif dan tegas dengan meletak calon yang berwibawa, bukan sahaja di Temerloh, tetapi juga di seluruh negara.
“Jika kamu berjuang menegakkan kebenaran bagai yang diajar oleh Allah, nescaya Allah akan memberi pertolongan dan kemenangan kepada kamu dan menetapkan pendirian kamu di atas kebenaran yang diperjuangkan,” ujarnya.
Katanya, beliau positif dengan keputusan pucuk pimpinan parti.
“Saya bukanlah makhluk yang sempurna. Apa yang ada pada saya hanyalah kesungguhan dan kemahuan berjuang untuk mencari kesempurnaan hidup bersama penghayatan Islam.
“Paling popular, serangan peribadi yang dihala kepada saya ialah Tantawi lari dari Temerloh. Mencari tempat selamat. Sebelum ini telah berlegar khabar angin mengatakan saya akan lari ke Kelantan untuk mencari tempat selamat setelah Temerloh dikatakan tergugat,” katanya. – MalaysiaGazette