JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu sesuatu berita yang disiarkan melalui media sosial bagi memastikan kesahihannya.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, masyarakat yang terdedah dengan laporan di media sosial terlalu mudah mempercayai sesuatu berita, sedangkan berita itu adalah palsu.
Ini katanya, berikutan dengan penyebaran mesej palsu yang tular di laman sosial semalam yang mendakwa kononnya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berada di sebuah pasar raya untuk membelanja pembeli.
“Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian telah menerima makluman berkenaan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang banyak di pasaraya Econsave Pontian.
“Kehadiran ini susulan tersebarnya mesej yang mendakwa Tunku Mahkota Johor akan hadir memberi bantuan RM200 bagi membeli barang keperluan harian di situ,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mesej tersebut adalah palsu dan penyebarannya juga dikesan di beberapa lokasi lain di sekitar Johor.
Mohd Khalil berkata, penyebaran berita, mesej atau maklumat palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Siasatan juga boleh dijalankan di bawah Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2019 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, dan dalam satu hal suatu kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.
Mohd Khalil berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan mengeluarkan sebarang artikel atau kenyataan yang palsu, menyakitkan hati, menjelikkan atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial dan pendakwaan mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap individu-individu ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette