Gambar hiasan

CHANGLUN – Pas kini didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menjadi hamba UMNO susulan pengakuan pemimpin utama mereka yang menerima wang daripada UMNO sehingga terlupa matlamat perjuangan parti mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, terserlah pendirian Pas masuk untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 hanya mahu memenangkan Barisan Nasional (BN) dengan menarik pengundi supaya tidak menyokong blok pembangkang itu.

“Bulan (Pas) mengaku, Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) mengaku dia terima duit daripada UMNO, anak Nik Aziz (Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz) pun mengaku terima duit daripada UMNO…jadi dia sekarang ini jadi hamba UMNO lah ni.

“Sebab itu mereka masuk, masuk bertanding bukan nak menang tapi nak tarik undi supaya parti Pakatan ini tak akan dapat banyak undi, supaya Najib akan menang,” kata beliau semasa berceramah di Felda Bukit Tangga semalam.

Mahathir juga berkata, Pas tidak mempunyai niat yang baik masuk bertanding dalam pilihan raya kerana mereka tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam.

“Ini lah niat tak baik dibuat parti Pas, sebenarnya parti yang menggunakan Islam, peganglah kepada ajaran Islam jangan buat sesuatu benda tidak baik kepada orang Islam.

“Inilah suasana kita hadapi dan saya yakin tak ramai yang akan pangkah bulan atau pun dacing,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tular rakaman mengandungi suara seorang lelaki yang bercakap dengan nada suara yang tinggi mengakui menerima wang daripada UMNO yang dikaitkan dengan Nik Abduh.

Turut dipetik dalam rakaman itu ialah nama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, Nik Abduh menafikan sekeras-kerasnya suara dalam rakaman itu adalah dirinya, malah menganggap ia sebagai karut dan fitnah ke atas dirinya serta Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast