KUALA LUMPUR – DAP menafikan bakal mencalonkan pakar perlembagaan, Prof Dr. Abdul Aziz Bari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi untuk PRU-14.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook menerusi kenyataan menegaskan, kenyataan yang diumumkan oleh penyandang kerusi itu Ong Boon Piow baru-baru ini adalah tidak rasmi dan bukan berdasarkan mandat pucuk pimpinan parti.
“Secara lazimnya, sebarang pengumuman calon Pakatan Harapan daripada DAP hanya boleh diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP atau pemimpin CEC yang telah diberikan mandat oleh setiausaha agung,” katanya hari ini.
Sehubungan itu Anthony kesal dan menyifatkan tindakan Boon Piow telah melanggar perlembagaan kerana mendahului keputusan rasmi.
“Beliau akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib Parti DAP untuk tindakan selanjutnya,”tambahnya.
Dalam masa yang sama, Aziz sendiri memaklumkan dirinya akan menjadi calon di DUN Tebing Tinggi pada satu majlis ceramah di Station 18 di Ipoh, Perak.
“Insy Allah, jika saya dipilih sebagai calon di DUN Tebing Tinggi dan menang, banyak yang kita akan bantu. Tapi biarlah menang sebagai kerajaan, bukan pembangkang,” Aziz dipetik berkata.
Untuk rekod Abdul Aziz pertama kali bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai ahli PKR dan menyertai DAP pada tahun 2015. -MalaysiaGazette