KUALA LUMPUR – Dendam Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Husam Musa terhadap kepimpinan kerajaan Kelantan masih membara dan sebolehnya beliau mahu menamatkan pentadbiran 28 tahun Pas di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini.
Bagi mengurangkan sokongan atau undi rakyat kepada calon Pas, beliau menggariskan 10 kelemahan kerajaan Pas hari ini.
Katanya, antara kelemahan itu ialah betapa rendahnya mutu perkhidmatan yang ditunjukkan Pas, selain penyampaian yang tidak sesuai dengan kehendak rakyat.
Kerajaan Pas Kelantan juga, menurutnya, dilihat letih, tidak bermaya membawa idea baharu, kerajaan yang terpisah dari rakyat dan sedap duduk atau complacent sebagaimana dialami PRU13.
“Trend umum yang ada pada sebahagian rakyat Kelantan ialah mereka melihat Pakatan Harapan sebagai penyelamat jika kerajaan Pas tidak boleh lagi diselamatkan,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam blog beliau, semalam.
Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor memberitahu, kelemahan lain kerajaan Pas Kelantan ialah kekangan kewangan kerajaan negeri, selain prestasi anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lemah, gagal mewujudkan peluang pekerjaan dan gagal mewujudkan pelan pembangunan serta pentadbiran mengikut keperluan semasa.
Sehubungan itu, ujar beliau, ramai rakyat bimbang Pas akan tewas dengan adanya PAN dan PH, tetapi kini ramai yakin, dengan adanya PH sebagai pilihan ketiga telah wujud.
“Tidak semesti apabila rakyat Kelantan tidak puas hati dengan Pas, mereka harus mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana pilihan yang lebih wajar wujud iaitu mengundi PH.
“Kita akan menumpukan perhatian kepada sumber kekayaan baru seperti pelancongan dan kebudayaan yang tidak boleh dipisahkan dengan negeri Kelantan jika diberi mandat menggantikan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette