KUALA LUMPUR – Sudah sah lagenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din dicalonkan oleh Pas bertanding melawan penyandang Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Beliau adalah lagenda bola sepak kedua terlibat dalam politik, selepas Datuk Soh Chin Aun yang menyertai MCA pada awal 80-an dan bertanding melawan calon DAP, Lim Guan Eng bagi merebut kerusi Parlimen Kota Melaka pada PRU-7 tahun 1986.
Bagaimanapun, Chin Aun kalah dengan majoriti besar iaitu 17,606 undi apabila hanya mendapat 16,967 undi berbanding Guan Eng memperoleh 34,573 undi.
Kali ini giliran Radhi pula untuk mencuba nasib dalam politik atas tiket Pas dan bertanding mencabar Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden Pas.
Keputusan pencalonan bekas pemain pasukan Kedah sejak tahun 1986 hingga tahun 2000 itu diumumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon muka baharu parti itu bagi kerusi Parlimen Pokok Sena semalam.
Radhi, 53, akan berdepan saingan sengit untuk memenangi kerusi yang disandang Mahfuz selama empat penggal sejak PRU10 itu, kerana pertarungan 9 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru termasuk calon dari Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette