Rohani Abdul Karim

SEPANG – Keutamaan golongan wanita dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) bukan perkara baharu atau umpan pilihan raya sebaliknya kesinambungan daripada usaha dan aku janji terdahulu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, sebanyak 99.4 peratus daripada aku janji Manifesto Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang menekankan peranan wanita dalam masyarakat sudah dilaksanakan sejak lima tahun lalu, bermula tahun 2013.

Ini termasuk pemerkasaan wanita dalam membuat keputusan, program melatih pengarah wanita serta meningkatkan penyertaan wanita dalam keusahawanan.

“Ini apa yang kerajaan sudah buat daripada Aku Janji. Kali ini manifesto lain dan menyeluruh. Fokus manifesto sangat jelas.

“Mereka (pembangkang) pun janji macam-macam. Mereka baru nak mula sedangkan kita dah lama buat. Ini kesinambungan. Kita tambah lagi. Apa yang mereka (pembangkang) sebut itu semua kita dah buat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rohani berkata, pihaknya berharap untuk melihat pertambahan calon wanita pada PRU ke-14, kali ini dengan jumlah rasmi bilangan perwakilan hanya akan dapat dianalisis selepas penamaan calon pada 28 April ini dan keputusan PRU ke-14 selepas 9 Mei depan.

“Bilangan perwakilan itu memang ada tetapi yang menang akan ditentukan oleh pengundi. Mungkin pengundi rasa mereka (perwakilan wanita) belum bersedia,” katanya.

Sehubungan itu, Rohani meminta golongan wanita mempersiapkan diri untuk bersaing dalam arena politik negara sekalipun diakui sukar tetapi ia boleh dilaksanakan.

Ketika diminta mengulas mengenai amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pertemuan di Seri Perdana, pagi ini, beliau berkata: “Kita satu keluarga yang besar. Macam pesanan mak ayah kita, kita ada adik beradik yang ramai. Jadi kalau ada yang terlebih tumpuan, janganlah berkecil hati.”- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast