KUALA LUMPUR – Selepas lima tahun menyepi diri, bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Kamalia Ibrahim semalam mengumumkan menyertai Pas sebagai ahli seumur hidup.
Keahlian beliau diterima dan diluluskan Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang bermesyuarat di Pulau Pinang, semalam, yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Keahlian Kamalia dalam UMNO gugur secara automatik pada April 2013 selepas beliau bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) melawan calon Barisan Nasional (BN) (Allahyarham) Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Idham Lim (Pas) dalam pertembungan tiga penjuru.
Mengikut rekod, Kamalia sebelum ini pernah merungut kerana tiada calon kanan daripada sayap Pergerakan Wanita UMNO yang dikemukakan sebagai calon oleh BN dalam PRU itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, Kamilia ditawarkan bertanding kerusi DUN Bukit Chandan dan dijanjikan jawatan Exco jika BN mendapat mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan negeri, tetapi beliau menolaknya.
Sehubungan itu, kata Najib tidak timbul sama sekali soal Kamalia tidak diberi tempat dalam PRU-13 atau tidak dihargai oleh BN.- MalaysiaGazette