KUALA LUMPUR – Pas telah memuktamadkan kira-kira 95 peratus calon yang akan mewakili parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peraturan itu termasuk calonnya di Sabah dan Sarawak.
“Kepimpinan Pas Pusat telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Harian di Pulau Pinang semalam. Mesyuarat ini dipengerusikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dihadiri semua 12 ahlinya.
“Dalam mesyuarat ini, jawatankuasa telah memuktamadkan 95 peratus calon yang akan mewakili Pas dalam PRU 14 bagi peringkat Parlimen dan DUN di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Menurut Takiyuddin, bagi kerusi Parlimen, Pas mengesahkan akan bertanding melebihi 150 kerusi, di samping sebahagian besar kerusi DUN di setiap negeri.
Kata beliau, majlis pengisytiharan calon-calon Pas akan diadakan serentak di negeri seluruh negara bermula 19 April ini, kecuali Sabah dan Sarawak pada 21 April dan Kelantan (25 April).- MalaysiaGazette