SINGAPURA- AirAsia X Bhd. tidak mempunyai perancangan untuk membeli pesawat badan lebar, Airbus SE A350 walaupun syarikat penerbangan tersebut mempunyai 10 tempahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersamanya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pesawat-pesawat tersebut terlalu mahal.
“Kami tidak mahu membeli A350 kerana terlalu mahal dan ini akan menyebabkan tambang semakin meningkat,” katanya dalam Facebook Live Chat dari London.
Syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu pernah menempah 10 buah pesawat A350 pada Jun 2009.
Ia kemudiannya menempah 66 buah pesawat A330neo, versi terkini A330.
Pesawat A350-900 mempunyai badan yang lebih panjang tetapi lebih mahal iaitu AS$317.4 juta berbanding harga A330-900 neo iaitu AS$296.4 juta.
Syarikat-syarikat penerbangan biasanya akan menerima diskaun yang besar daripada harga tersebut.
Para pengeluar biasanya membenarkan syarikat penerbangan menukar model walaupun telah membuat tempahan dan membayar deposit, ini bermakna AirAsia X mungkin boleh menukar tempahan A350 kepada pesawat Airbus yang lain seperti keluarga A330neo atau A320.
Kumpulan AirAsia merupakan salah satu pelanggan terbesar Airbus tetapi menurut sumber, AirAsia juga turut berbincang dengan Boeing Co untuk membeli pesawat 787-10. Harga 787-10 adalah AS$325.8 juta.
Keputusan akhir mengenai masa depan pesawat-pesawat AirAsia X dijangka diketahui akhir tahun ini, kata sumber. – MalaysiaGazette