KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) didakwa terpaksa membuat pindaan kawasan Parlimen khususnya di negeri pantai timur dalam pilihan raya kali ini untuk melemahkan kubu kuat Pas.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, proses persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih cenderung kepada Parlimen yang dimenangi Pas yang mempunyai jumlah pengundi sehingga 100,000 orang.
“Undi (Pas) semakin meningkat, sebab itu BN terpaksa pinda kawasan-kawasan baharu. Kita saksikan bagaimana pindaan kawasan yang kuat Pas seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, satu Parlimen 90,000 hingga 100,000 pengundi.
“Di Johor satu Parlimen hanya ada 40,000 pengundi di Putrajaya pula ada 16,000 pengundi. Dia (BN) banyakkan kerusi supaya kawasan dia kuat,” katanya pada sidang media sempena Gelombang Hijau Perak di Seri Iskandar, Perak.
Pada PRU13 pada Mei 2013, Pas memenangi 14 kerusi daripada 73 Parlimen yang ditandinginya ketika masih bersama Pakatan Rakyat.
Dalam PRU13 juga, Pas gagal mempertahankan Kerajaan Negeri Kedah yang dibentuk selepas dirampas BN.
Abdul Hadi juga berkata, beliau tidak menolak Pas berupaya memenangi lebih banyak kawasan Parlimen yang mempunyai lebih 90,000 pengundi di negeri-negeri pantai timur jika proses pilihan raya telus dan adil.
“Tempat kita kuat sepatutnya tiga Parlimen, itu kekuatan kita. Kalau pilihan raya telus, adil dan sudah lama kita menang,” katanya.
Abdul Hadi berkata lagi, kekuatan Pas terletak kepada jenteranya di peringkat akar umbi di kawasan Parlimen di seluruh negara.
“Kita ada akar umbi 196 kawasan di seluruh negara, tiap-tiap Parlimen kita ada kawasan. Kita bukan macam parti lain tiada kawasan.
“Ada pula bab peti-peti undi, ada petugas-peugas, kita bertanding pilihan raya berdasarkan adanya ukuran-ukuran, adanya petugas-petugas parti,” katanya.
Katanya lagi, kekuatan Pas amat berbeza berbanding UMNO yang bergantung kepada jentera kerajaan.
“Pas tak macam UMNO, mereka ada bahagian, dia bergerak dengan jentera kerajaan, kita tidak, kita ada kawasan, ada cawangan-cawangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.