Vell Paari

KUALA LUMPUR – Bunyinya sungguh kelakar terutamanya apabila seorang bekas negarawan tersohor seperti Tun Mahathir Mohamad yang sejak kebelakangan ini sering lantang mahu ‘Menyelamatkan Malaysia’ dalam 100 hari tetapi hakikat sebenarnya, kedai roti miliknya sendiri tidak dapat di selamatkan.

Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata, kedai roti premium milik Tun Mahathir, The Loaf yang baru-baru ini terpaksa di tutup di seluruh negara kononnya kerana mahu menggunakan wang untuk membiayai parti PPBM sebenarnya retorik.

Menurut Vell Paari, The Loaf yang telah memulakan perniagaan sejak 2005 itu sebenarnya mengalami kerugian besar sejak di tubuhkan dan terpaksa di tutup ketika ini selepas tidak mendapat pembeli sewajarnya.

“Pelik betul Tun M ini, kedai roti anda sendiri tidak boleh di selamatkan anda sedang memasang impian besar untuk menyelamatkan Malaysia lagi-lagi dengan faktor usia seperti ini? Apa sebenarnya agenda dan niat anda?

“Henti putar belit dan beri fakta kononnya anda mahu menyelamatkan negara ini daripada semua jenis tohmahan serta tuduhan berbelit-belit yang di dakwa oleh anda. Rakyat bukan tidak nampak, sampai bila mahu berkempen dengan cara murahan seperti ini?

“Selama 22 tahun anda tidak dapat ubah apa-apa malah setiap yang berlaku sebelum ini anda perlu di pertanggungjawabkan, dengan perkataan ‘maaf’ anda, semuanya sudah selesai? Cukuplah dengan drama retorik anda. Rakyat juga sudah bosan dan muak.

“Kerja anda sangat mudah, semuanya hanya perlu menyalahkan semua orang lain dan bukan diri anda walhal anda jugalah diktator selama hampir 22 tahun memerintah? Ketika itu semua yang anda sedang peluk cium semuanya dulu anda jadikan musuh dan di sumbat dalam penjara ISA. Siapa sebenarnya diri anda wahai Tun M,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Jelas Vell Paari, sewaktu 22 tahun memerintah negara, Tun Mahathir menjadikan Langkawi sebagai tempat menjaga kepentingan sendiri dan kroni-kroninya.

“Penduduk Langkawi keba­nyakannya terlibat dalam perniagaan. Mereka sudah pandai, hidup aman makmur, kaya raya. Jadi mereka juga sudah tahu parti BN yang banyak berjasa kepada pembangunan Langkawi, bukannya atas faktor Tun Mahathir itu sendiri.

“The Loaf sendiri tutup di Langkawi dan di seluruh negara. Itu membuktikan beliau sudah tidak berkemampuan dan tidak boleh mengurus. Jadi, bagaimana dia hendak memimpin dan menjaga kepentingan Langkawi? Kita tunggu dan lihat sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Vell Paari turut menempelak Tun Mahathir yang sebelum ini pernah membuat pusingan ‘U’ dengan mengatakan The Loaf itu bukan  miliknya.

“Kemudian tanpa segan silu, kata ianya adalah milik beliau. Ingatlah, jika inipun beliau sanggup putar belit dan tipu, bayangkan apa lagi yang boleh di tipu selepas PRU nanti,” tegasnya.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau mengetahui bahawa Pengerusi PPBM itu memiliki pegangan saham sebanyak RM10 juta dalam kedai roti tersebut. – MalaysiaGazette