PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadi calon Parlimen Langkawi psemata-mata ingin melihat sejauh mana keupayaan calon Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan majoriti lebih 11,000 undi pada pilihan raya umum lepas.
Mahathir berkata, walaupun tidak bertanding di Parlimen Kubang Pasu mahu pun Putrajaya namun bekas perdana menteri itu optimis untuk menang di mana-mana kerusi yang ditandinginya.
“Saya ingat kalau saya pilih Kubang Pasu pun saya boleh menang. Sebab itu sejak awal lagi saya kata mungkin Langkawi, Kubang Pasu, Putrajaya atau pun mana-mana tempat lain.
“Itulah sebabnya saya tidak terhad di Langkawi saja, dari awal pun saya niat nak bertanding di Langkawi pasal di sana UMNO menang dulu dengan lebih 11,000 undi.
“Kita nak tengok berapa banyak dia dia boleh dapat dapat (majoriti undi),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM, di sini hari ini.
Dalam PRU-13, Parlimen Langkawi dimenangi calon BN, Datuk Ir. Nawawi Ahmad menewaskan calon PKR, Ahmad Abdullah dengan majoriti 11,861 undi.
Parlimen Langkawi pada PRU13 lalu mempunyai 37,536 pengundi di mana sebanyak 84.92 peratus atau 31,877 pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
Mahathir berkata lagi, walaupun usianya kini mencecah 93 tahun, namun orang ramai masih ‘suka’ dengan kehadirannya kerana rakyat akan mendapat ‘hadiah’ daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Bila saya pergi mana-mana, saya akan dituruti oleh Najib dengan bagi ‘hadiah’. Sebab itu orang suka sama saya, bila saya buat lawatan, Najib akan bagi ‘hadiah’,” katanya lagi.
Bagaimanapun difahamkan, Nawawi tidak lagi mempertahankan kerusi berkenaan dan ditukar ke Dewan Undangan Negeri.- MalaysiaGazette