KUALA LUMPUR – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kesal dengan tindakan DAP terus memainkan isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai satu pembaziran kerajaan di laman media sosial baru-baru ini.
Pengerusinya, Ahmad Rudin Hussain berkata, projek ECRL bukan hanya tertumpu untuk industri perikanan semata-mata malah ianya merangkumi aspek komoditi pertanian lain.
Beliau berkata, semua pihak sepatutnya memberi sokongan terhadap projek ECRL memandangkan ia bakal menjadi nadi penghubung antara Pantai Timur dan Pantai Barat di Semenanjung Malaysia.
“Memandangkan Tok Bali merupakan salah satu Kompleks Perikanan yang mendaratkan kuantiti ikan tertinggi, cadangan pembinaan stesen ECRL di Tok Bali secara langsung menambah baik kemudahan logistik sedia ada.
“Pengoperasian ECRL akan merancakkan logistik produk perikanan antara Pantai Timur dan Pantai Barat termasuk Kuala Lumpur. Pendaratan ikan laut dalam di Tok Bali adalah yang terbesar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada awal bulan ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan menghentikan projek ECRL sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Mahathir mendakwa, projek bernilai RM55 bilion itu merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu disediakan kepada rakyat.
Susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu, pakatan pembangkang yang diketuai DAP itu berterusan memainkan isu ECRL di laman media sosial bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi menjelang PRU14.
Ahmad Rudin juga berkata, pada masa ini sebahagian ikan dari Tok Bali Kelantan dibawa ke Thailand kerana kos pengangkutan lebih murah dan mengambil masa lebih cepat berbanding ke Pantai Barat dan Lembah Klang.
“Oleh yang demikian, satu stesen ECRL akan dibina di Tok Bali, Kelantan bagi menampung keperluan semasa dan akan datang,” katanya.
Katanya lagi, pemikiran masyarakat nelayan sekarang lebih matang dan boleh menilai yang mana baik untuk mereka khususnya melonjak pendapatan menerusi projek ECRL ini.
“NEKMAT berterima kasih kerana kerajaan telah sekian lama berusaha meningkatkan taraf hidup, kebajikan dan pendapatan nelayan dan petani dengan pelbagai kemudahan termasuk ECRL ini.
“Ia dapat membantu golongan nelayan dalam mengurangkan kos operasi tangkapan ikan di laut melalui pemberian pelbagai insentif
“Antara bantuan kepada nelayan ialah Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), Insentif Hasil Tangkapan Ikan,Perumahan Nelayan, Skim Insurans Nelayan Berkelompok dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya lagi. – MalaysiaGazette.