KUALA LUMPUR – Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) tidak ada buat apa-apa untuk wanita, kata Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu, Zuraidah Kamarudin sendiri tidak ada sebarang idea bernas walaupun sudah memegang tampuk pemerintahan Selangor selama 10 tahun.
Itu reaksinya apabila Zuraidah mendakwa Shahrizat gagal memperjuangkan hak wanita dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) dan dalam kerajaan.
“Zuraidah tidak buat apa pun untuk wanita, semua yang Selangor laksanakan untuk wanita sebenarnya ditiru oleh PH.
“Tidak malu sebab ikut apa yang kami perjuangkan. Wanita dibawah pembangkang tidak ada idea langsung dan olah semula manifesto BN. Kita tahu semua itu,” katanya kepada Malaysia Gazette semalam.
Semalam, Zuraidah mendakwa Manifesto BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) ketinggalan zaman dan sudah direalisasikan oleh Selangor serta Pulau Pinang.
Malah Zuraida turut berkata BN gagal dalam meneruskan kesinambungan mengangkat martabat wanita yang mengaitkan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Majlis Ekonomi Wanita (MEW).
Mengulas dakwaan itu, Shahrizat mengakui beliau sendiri yang memohon agar Najib mempengerusikan majlis terbabit kerana sebagai Perdana Menteri setiap cadangan MEW dapat direalisasikan segera.
“MEW memang saya nak Perdana Menteri pengerusikan sebab kalau Najib yang pengerusikan akan lebih berkesan, mereka tidak ada perdana menteri, jadi mereka cemburu.
“Kita lagi hebat dan bila kita menang, PM yang akan mempengerusikan majlis tersebut dan menentukan secara langsung kejayaan wanita. Kalau mereka, pergilah ke peringkat Parlimen jadi pengerusi,” kata bekas menteri Kabinet itu. -MalaysiaGazette