Arsene Wenger

LONDON – Sebaik sahaja mengumumkan akan meninggalkan Arsenal pada akhir musim ini, Arsene Wenger belum ada perancangan untuk bersara daripada arena bola sepak.

Malah pengurus berusia 68 tahun itu membuktikan beliau masih laris apabila akan berbincang dengan Paris Saint-Germain dan Monaco.

Semalam, Wenger kelahiran Perancis  akhirnya memutuskan untuk menamatkan karier selama 22 tahun bersama Arsenal.

Wenger yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun mengejutkan ramai pihak terutama anak buahnya apabila memaklumkan mengenai hasratnya itu semasa latihan awal pagi semalam.

Difahamkan, Wenger kecewa dengan sikap lembaga pengarah Arsenal selepas dia menerima kata dua daripada mereka.

Wenger didakwa telah dimaklumkan lembaga pengarah The Gunners bahawa dia akan dipecat pada hujung kempen jika dia tidak berundur dengan rela hati.

Menurut The Sun, Wenger masih terbuka untuk membimbing mana-mana kelab selepas ini dengan PSG dan Monaco berminat terhadapnya.

PSG dilaporkan bercadang untuk memecat Unai Emery pada hujung musim dan sudah berbincang dengan bekas pengurus Borussia Dormund, Thomas Tuchel yang turut dikaitkan dengan Arsenal.

Wenger merupakan rakan baik Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi yang dilihat akan menawarkannya jawatan pengarah sukan dan berkemungkinan menggantikan Antero Henrique pada musim panas ini.

Malah Monaco pula menjadi pilihan kedua Wenger yang pernah dikemudinya menjulang trofi Liga 1 pada 1988. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast