Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengibarkan bendera parti Barisan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional Negeri Kedah PRU-14 di Stadium Sultan Abdul Halim Suka Menanti, Kedah. foto IQBAL BASRI, 20 APRIL 2018

ALOR SETAR – Golongan muda paling untung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah yang diumumkan semalam dengan pelbagai inisiatif yang khusus membantu kumpulan tersebut, sementara projek berimpak tinggi bakal melonjak ekonomi rakyat negeri Jelapang Padi itu.

Manifesto bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ itu menawarkan program-program yang akan banyak memberi peluang menarik kepada golongan muda di Kedah, sama ada daripada segi aspek rohani mahu pun jasmani.

Bukan sahaja stadium baharu akan dibina, malah anak muda yang mahu mendirikan rumah tangga juga bakal mendapat faedah sekiranya BN menang di Kedah nanti.

Ketua Pergerakan Pemuda BN Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustaffa menyifatkan pemfokusan manifesto menerusi kegiatan berpersatuan akan memberi manfaat banyak kepada anak muda di Kedah dan dapat menarik kumpulan itu menyokong BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Persatuan belia yang akan diberi pengupayaan menjalankan aktiviti dan urus tadbir persatuan belia sebelum ini memang jarang kerajaan negeri menganjurkan sebegitu rupa. Kadang-kadang sekadar ‘one-off’ selepas itu habis ini bagus sentiasa dan konsisten.

“Keseluruhan kerajaan negeri Kedah sekiranya diberi mandat oleh anak muda khususnya adalah satu perkara yang baik,” kata beliau semasa ditemui malam tadi.

Dalam manifesto BN itu juga, beberapa projek besar turut diumumkan antaranya Projek Kedah Rubber City, peluasan KHTP FASA 5, bernilai RM408 juta dengan membuka 8,000 peluang pekerjaan bagi 12 lot industri.

Selain itu, Kedah Science and Technology Park juga bakal dibuka dengan pelaburan awal RM168 juta dan menyediakan 25,000 peluang kerja mulai 2019 dan meningkat ke 50,000 menjelang tahun 2030.

Selain itu, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim juga akan dinaiktaraf, bakal memudahkan penerbangan antarabangsa mendarat disitu.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan dan Usahawan negeri itu, Datuk Suraya Yaacob, projek tersebut akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah dan akan melonjak pembangunan ekonomi negeri utara tanahair itu.

“Kita lihat projek-projek berimpak tinggi ini ada kelebihannya tempat-tempatnya nanti pun menyeluruh seluruh negeri Kedah.

“Keuntungan daripada projek berimpak tinggi kemungkinan ramai orang Kedah akan kata mereka tidak akan terlibat tetapi mereka tidak faham bahawa rangsangan ekonomi tersebut boleh membantu rakyat Kedah secara keseluruhannya walaupun jumlah pekerjaan yang ditawarkan di sesuatu tempat lebih kurang 18,000 tetapi ini bukan jumlah itu sahaja ini adalah tentang limpahan pembangunan lain yang akan dapat dirasakan di satu negeri Kedah,” katanya.

Selain aspek pembangunan insan dan ekonomi, manifesto tersebut juga tidak mengabaikan masyarakat berbilang kaum di Kedah apabila BN berjanji akan memberikan peruntukan khas untuk meraikan sambutan perayaan mengikut adat resam kaum masing-masing di Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan MIC Negeri Kedah, Datuk Jaspal Singh menyifatkan manifesto tersebut membuktikan komitmen mereka dalam memelihara dan menjaga keharmonian sesama kaum di negeri tersebut.

“Sebenarnya perkara penting adalah sama ada manifesto itu realistik atau tidak. Saya rasa manifesto ini memang seperti yang MB cakap 1/3 sudah dilaksanakan, 1/3 sedang dan 1/3 akan dilaksanakan bermaksud ia realistik bukan mustahil untuk dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi Thaipusam, cuti peristiwanya akan dikekalkan untuk lima tahun, kita ada bahasa ibunda untuk belajar ini semua satu kelebihan sebab ia adalah perkara baru. Ada pula perayaan dana akan akan ditingkatkan,peruntukan tokong semua tu bukti akan diperkasakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah Pilihan Raya Umum Ke-14

Tujuh Kluster Utama

  1. Kluster kesejahteraan Hidup Rakyat.

  2. Kluster Berimpak Tinggi.

  3. Kluster Jaringan Perhubungan Darat.

  4. Kluster Infra dan Utiliti.

  5. Kluster Agama dan Modal Insan.

  6. Kluster Masyarakat Berbilang Kaum.

  7. Kluster Belia dan Anak Muda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast