KUALA LUMPUR – MIC menyangkal tuduhan kononnya MIC tunduk kepada tekanan UMNO dalam proses pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.
Sebaliknya, pembahagian kerusi bertanding bagi calon-calon MIC kali ini ditetapkan mengikut semangat setiakawan dan prinsip konsensus bersama Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk V.S.Mogan berkata, sebelum ini Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam telah menyerahkan senarai calon kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang terdiri daripada gabungan muka baharu dan berpengalaman.
“Tohmahan yang dilemparkan terhadap presiden parti kononnya beliau terlalu tunduk kepada tekanan UMNO dan bersetuju menyerahkan beberapa kerusi tradisi MIC adalah tidak berasas sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Mogan, dakwaan itu adalah tidak masuk akal kerana sebagai contoh, selepas proses persempadanan semula, sebanyak 70 peratus daripada pengundi Parlimen Kapar adalah pengundi Melayu namun Subramaniam tidak melepaskan kerusi itu kepada UMNO,” katanya lagi.
“Begitu juga dengan kerusi Parlimen Sungai Buloh (dahulu dikenali sebagai Subang) juga mempunyai 65 peratus Melayu tetapi Subramaniam bertegas tidak melepaskannya kepada UMNO walaupun menerima tentangan hebat.
“Ini bukti presiden kami tegas dalam soal pengagihan kerusi calon, dalam pada itu beberapa kerusi Parlimen terpaksa ditukar selepas dipertimbangkan secara teliti dan mendalam demi kebaikan BN,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Mogan berkata, banyak faktor perlu diambilkira dan dipertimbangkan dalam soal pengagihan kerusi memandangkan landskap politik negara yang telah berubah.
Beliau turut memaklumkan bahawa parti komponen lain dalam BN iaitu UMNO, MCA, Gerakan dan lain-lain juga belum mengumumkan senarai calon-calon mereka.
“Jadi untuk menuduh MIC melengah-lengahkan masa pengumuman calon adalah tidak wajar dan tidak seharusnya ditimbulkan pihak di luar sana.
“Saya dengan ini menyangkal sekeras-kerasnya pendapat tidak berasas seorang bekas Ketua Bahagian MIC Wilayah Persekutuan seperti dilaporkan sebuah portal berita kononnya Subramaniam terlalu akur dengan telunjuk UMNO.
“Saya yakin dengan keupayaan presiden yang telah menilai secara teliti kredibiliti dan kewibawaan setiap calon yang dicadangkan kepada Najib Tun Razak , biar ‘boleh menang’ atau ‘disukai’ demi mejamin kemenangan multak BN,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette