Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) ketika hadir pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Memperkenalkan Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berasa kesal dengan sikap pembangkang yang berterusan melakukan kempen secara agresif menjelang pilihan raya kali ini.

Beliau berkata, kempen agresif yang didalangi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat keterlaluan hingga melakukan serangan peribadi dengan mencacatkan gambar beliau di kawasan yang dilawatinya, semalam.

“Yang agresif mereka (pembangkang). Macam semalam, saya turun kawasan, belum kempen lagi muka saya diconteng dengan cat biru, mata saya disepetkan.

“Kenapa? Inilah masalah dengan pembangkang dan saya pun tak faham mereka ini,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto dan Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Terdahulu Tengku Adnan selaku Pengerusi BN Wilayah Persekutuan melancarkan Manifesto Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan itu dengan menawarkan lima teras dan 64 inisiatif.

Manifesto BN Wilayah Persekutuan yang bertemakan ‘Aspirasi Rakyat Agenda Kami’ mensasarkan kepada membantu rakyat bagi mengurangkan kos sara hidup dan mewujudkan persekitaran perbandaran yang kondusif selari dengan slogan Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera.

Tengku Adnan juga menasihatkan pembangkang agar berkempen dengan cara sihat dan bukan menggunakan kekerasan dan serangan peribadi pada PRU14 kali ini.

“Berkempen dengan tomakninah laa. Saya tak macam mereka, bendera mereka pun saya tak cabut.

“Ini masalah dia orang, saya tak faham mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast