Setiausaha Bahagian MCA Cheras, Datuk Dr. Toh Kian Kok (dua kiri) bersama mangsa Steven Ng Thian Sang,67 (kiri) dan Chan Soon Moi,81 yang duduk berkerusi roda bergambar bersama kepada media berkenaan insiden penyokong DAP mengancam ahli MCA ketika menghantar memorandum ke Pusat Khidmat Tan Kok Wai di Pusat Komuniti MCA Bahagian Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 23 APRIL 2018
Setiausaha Bahagian MCA Cheras, Datuk Dr. Toh Kian Kok (dua kiri) bersama mangsa Steven Ng Thian Sang,67 (kiri) dan Chan Soon Moi,81 yang duduk berkerusi roda bergambar bersama kepada media berkenaan insiden penyokong DAP mengancam ahli MCA ketika menghantar memorandum ke Pusat Khidmat Tan Kok Wai di Pusat Komuniti MCA Bahagian Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 23 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Peranan dan sumbangan oleh penyandang Parlimen Cheras, Tan Kok Wai merangkap Pengerusi Kebangsaan DAP di kawasan itu selama hampir 31 tahun  terus menjadi tanda tanya sehingga kini.

Kok Wai yang bakal bertanding sekali lagi buat kali kelapan di Parlimen Cheras walaupun sudah melangkau usia emas itu pernah menjadi ahli parlimen selama disitu sejak tahun 90-an lagi.

Modus operandi Kok Wai dan DAP hanya satu – dengan memperalatkan majoriti masyarakat Cina yang mencecah hampir 80 peratus dengan menggunakan air liur untuk berterusan menanam kebencian untuk menentang kerajaan pemerintah.

Menurut seorang penduduk, Chong Shoy Kin, 67, yang merupakan penyokong tegar Kok Wai selama ini kini merasakan dirinya tertipu selama ini.

Kesemua keluarga Shoy Kin juga didakwa mengundi DAP dan Kok Wai selama puluhan tahun berikutan tipu muslihat serta janji-janji manis ahli politik berkenaan.

“Saya benar-benar kecewa dan tertipu. Setelah hampir 30 tahun mengundi kepada pemimpin ini, rupanya warna sebenar itu akhirnya kelihatan juga. Saya tidak sangka apabila saya memerlukan bantuan berhubung pemindahan rumah di Jalan Peel kerana tujuan pembangunan, Kok Wai tidak bantu.

“Kami di paksa keluar dari kawasan itu dengan diberi pampasan sewajarnya namun tidak kunjung tiba. Apabila pergi berjumpa beliau, kami dilayan dengan begitu teruk sekali. Saya sudah tua dan tidak mampu ke hulu ke hilir.

“Adakah ini balasan yang saya terima setelah keluarga saya mengundi anda dan parti anda? Saya sangat kecewa. Kami akhirnya mendapat bantuan melalui MCA yang selama ini kami tolak dan benci kononnya tidak membantu. Rupanya selama ini, ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’,” tegasnya.

Seorang lagi penduduk dari Taman Miharja, Steven Ng Thian Seng, 67, tidak dapat menahan kemarahan dan emosinya sebentar tadi apabila memberitahu bagaimana dirinya yang juga pesakit kanser dan isterinya di layan dengan ‘teruk’ sekali.

“Saya hanya seorang pemandu teksi, bukan kaya. Apabila saya mendapat tahu saya ada kanser, saya mengeluarkan semua wang simpanan termasuk EPF bagi kos rawatan. Hampir lebih setahun hanya duduk di wad merawat sakit ini.

“Bayangkan apabila isteri saya, Chan Soon Moi yang berusia 81 mohon bantuan sekurang-kurangnya surat sokongan yang boleh kurangkan beban, kami hanya diberikan sebuah alamat di Grand Seasons dan diminta mohon bantuan di sana.

“Senangnya kerja ahli Parlimen DAP. Hanya bagi alamat kebajikan dan minta kami ke sana. Kami tidak mampu hendak berjalan, tiada wang. Mengapa kami diperlakukan sebegini rupa? Tengok fizikal kami anda tentu tahu adakah kami berbohong atau tidak. Jadi mengapa?

“Kami buang masa mengundi DAP dengan harapan kononnya kebajikan kami akan terjaga ketika memerlukan. Sebaliknya, mereka hanya memberikan alasan tidak mampu berbuat apa-apa sehingga berjaya mendapat kerajaan persekutuan. Kami sangat kecewa dan tidak akan mengundi mereka lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut  Setiausaha MCA Cheras, Prof. Datuk Dr. Toh Kian Kok, keangkuhan yang ditonjolkan oleh DAP kononnya mereka mampu menang berkali-kali tanpa perlu menyumbang atau berjasa kepada rakyat sangat mengecewakan.

“Bayangkan, selama hampir 31 tahun Kok Wai menjadi Ahli Parlimen Cheras, pelbagai banyak masalah yang tidak mampu diselesaikan olehnya. Dengan senag-senang, beliau biarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan MCA untuk selesaikan kesemuanya.

“Tapi sejak 10 tahun kebelakangan ini, Kok Wai semakin bertambah ‘angkuh’ dan kurang turun padang untuk bantu penduduk Cheras. Rata-ratanya di biarkan pembantu-pembantu beliau melayan kehendak pengundi.

“Tetapi pada masa yang masa, satu pun belum tentu selesai. Pengundi dan rakyat di Cheras terumbang ambing sehingga terpaksa mencari alternatif lain. Beginkah cara mereka berterima kasih kepada pengundi yang telah bertahun menyokong mereka,” soalnya.

Kian Kok yang cuba menyerahkan sebuah memorandum berhubung permasalahan penduduk kepada Kok Wai pada Sabtu lepas telah ‘di kasari’ dan di halau sekumpulan penyokong DAP.

“Saya bersama sekumpulan 20 penduduk tempatan berhimpun di hadapan Pusat Khidmat DAP Cheras pada Sabtu lepas bagi menyerahkan memorandum antaranya mempersoal janji ditabur Kok Wai selama 31 tahun menjadi ahli Parlimen kawasan tersebut.

“Tetapi kehadiran kami tidak diterima dengan begitu baik sekali sebaliknya pelbagai kata-kata tidak elok dihamburkan kepada kami, ada juga yang cuba menakutkan kami selain cuba bertindak kasar.

“Apakah budaya ini yang diamalkan oleh DAP selama ini? Adakah anda begitu kebal sekali? Saya juga turut diugut sehingga memaksa diri untuk membuat laporan polis bagi keselamatan diri dan keluarga saya.

“Sebenarnya, DAP ini kebal. Mereka tidak boleh dipersoal. Tetapi mereka boleh sesuka hati melempar fitnah dan membuat tuduhan dan cacian sepanjang masa. Saya cuma berharap masyarakat kita akan celik dan sedar,” tegasnya.- MalaysiaGazette