KUALA LUMPUR – “Amat bodoh kalau pembangkang mahu mengkaji semula kontrak kepada negara China,” demikian kenyataan balas Perdana Menteri berhubung kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan mengkaji semula kontrak itu sekiranya gabungan itu merampas Putrajaya.
Ujarnya, Malaysia perlu akur bahawa China adalah kuasa dunia dalam merancakkan ekonomi di negara ini dan dengan itu langkah untuk menghentikan semua itu adalah tidak wajar.
“Mereka (PH) mahu kaji semula kontrak dengan negara China, itu akan menjadi satu kesilapan besar kerana China adalah rakan dagang nombor satu kami, mereka sumbang AS$100 bilion setahun dari segi jumlah dagangan.
“China menjadi ekonomi terbesar di dunia. China sentiasa kawan baik kami yang baik. Mengapa kita mahu menyinggung perasaan kerajaan China? Itulah yang bodoh dan sangat tidak pintar seolah-olah menembak kaki kita sendiri,” katanya dalam ucapan perasmian bangunan baharu Sekolah Tinggi Kuen Cheng di ibu negara hari ini.
Najib berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Mahathir yang akan mengkaji semula semua Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan membatalkan projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika ia didapati bertentangan dengan kepentingan negara.
Mahathir pada awal bulan ini berkata, projek ECRL yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bernilai RM55 billion itu merupakan satu pembaziran.
“Tolong jangan sokong dan percaya pada apa yang mereka (PH) katakan. Mereka cuba pengaruh anda untuk menyokong mereka dengan membuat komitmen yang hanya akan merugikan ekonomi,” katanya.
ECRL merupakan projek transformasi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di wilayah Pantai Timur apabila siap pada 2024. -MalaysiaGazette