KUALA LUMPUR – Selepas satu penggal menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas dari 2013 hingga 2018, nama Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kemudian disebut-sebut dipindahkan bertanding ke kerusi Parlimen Rantau Panjang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Tempatnya dikatakan diganti oleh bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas, Rozi Muhammad, setelah pucuk pimpinan melihat trend rakyat di kawasan itu yang mula menolak Nik Mohamad Abduh kerana gagal berkhidmat sebagai wakil rakyat sepanjang tempoh kemenangannya pada PRU13.
Selepas itu, pucuk pimpinan Pas dijangka meletakkan beliau di Rantau Panjang, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti, Datuk Nasuruddin Daud yang dikatakan ditukar ke Parlimen itu ditempatkan di Pasir Mas.
Bagaimanapun, mengikut sumber rapat Pas Kelantan, Nik Mohamad Abduh dikatakan telah membuat keputusan menarik diri dari bertanding pada PRU14 ini dengan alasan faktor keluarga.
Dikatakan, ibunya, Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak merestui anaknya itu bertanding, sama seperti nasihat kepada anaknya, Nik Omar, yang dikatakan akan menyertai Parti Amanah Negara (PAN) dan bertanding atas tiket PKR pada PRU ini.
Kedudukan Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat terumbang ambing selepas ayahnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada Februari 2015.
Tindakannya tidak mempertahankan jawatan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat pada muktamar parti itu dua tahun lalu juga membuktikan peranannya dalam parti semakin pudar. – MalaysiaGazette