Ogy Ahmad Daud memuat naik gambar berlatar belakangkan tanda salib ketika bergambar di Kings Park and Botanic Garden, Perth Australia semalam. Foto: Instagram Ogy Ahmad Daud
Ogy Ahmad Daud memuat naik gambar berlatar belakangkan tanda salib ketika bergambar di Kings Park and Botanic Garden, Perth Australia semalam. Foto: Instagram Ogy Ahmad Daud

KUALA LUMPUR – Hanya sekadar suka-suka berkongsi gambar, pelakon Fauziah Ahmad Daud mendapat kecaman dalam kalangan pengikutnya di Instagram.

Ini kerana tindakannya yang memuat naik gambar berlatar belakangkan tanda salib ketika bergambar di Kings Park and Botanic Garden, Perth Australia semalam.

Ada berpendapat perbuatan itu kurang manis dan tidak sesuai sebagai seorang umat Islam.

Fauziah atau lebih mesra dengan sapaan Ogy menerusi Instagram miliknya tampil menjelaskan tuduhan itu seolah-olah memberi gambaran dia seorang yang rosak akidah.

“Kecoh pasal gambar saya berlatar belakangkan salib dan macamlah saya ni punah akidah segala macam.

“Agak-agaklah, saya dah 56 tahun, takkan la saya tak tahu agama,” katanya menerusi video di Instagram miliknya.

Ogy berada di Perth bagi menjalani pemggambaran drama bersiri Rahsia Hati Perempuan arahan Michael Ang.

Sementara itu, Ogy menerusi kapsyen video tersebut memberitahu dia tidak akan bertoleransi dengan perkara yang disifatkan tidak berfaedah.

“Saya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perkara yang bukan-bukan dan biar saya bercakap terus kepada muka anda.

“Jika anda tidak faham bahasa Inggeris cari seseorang untuk terjemahkan kepada anda,” tulisnya.

Sebelum itu, menerusi gambar tersebut, Ogy turut menegur pengikutnya yang mempersoalkan mengenai gambar berkenaan dan menjelaskan tanda salib itu tidak mengugat imannya.

“Apanya yang kurang elok? Tak tergugat pun iman saya. Tak berpaling pun saya dari agama Allah.

“Jadi apa masaalah awak ni? Tak elok bagi awak jangan tengok nanti tak pasal-pasal awak berdosa kerana berfikiran yang bukan-bukan terhadap saya. Sekian. Terima kasih. Assalamualikum,” tulisnya. – MalaysiaGazette