KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Datuk MS Mahadevan dari MIC meluahkan rasa kecewanya dalam laman sosial Facebook kerana digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mahadevan yang juga merupakan bekas Exco kerajaan negeri Melaka itu mendakwa, beliau tidak terpilih kali ini kerana dirinya bukan ‘penyokong’ tegar Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Dakwa Mahadevan, beliau terpilih sebagai calon kerana bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel telah memberikan peluang serta kepercayaan kepada beliau, sekali gus dilantik sebagai Pengerusi MIC Melaka ketika itu.

“Saya juga menang sebagai Ahli Majlis Tertinggi CWC dalam (kelompok 5 teratas) pada ketika Subramaniam menjadi Presiden, jadi fahamlah mengapa saya tidak dicalonkan oleh beliau.

“Inilah nasib semua ahli politik, soal kerja kuat dan sokongan kuat akar umbi tidak penting. Tidak dapat sokongan kuat akar umbi pun tidak apa asalkan Presiden ‘suka’,” luahnya dengan penuh kecewa.

Status yang dimuat naik oleh Mahadevan itu menjadi viral selain dikongsi ramai termasuk pemimpin dari Melaka sendiri.

Tambah Mahadevan, ramai telah menghubunginya untuk menyatakan sokongan serta memintanya bersabar dan tabah menghadapi situasi ini.

“Ramai yang kecewa kerana isu siapa orang ‘Palanivel’ atau ‘Subramaniam’ sudah tidak jadi soal lagi. Semua sokong kepimpinan sekarang.

“Jadi mengapa perlu pilih kasih dan bersikap sebegini? Tidak apa. Saya akan tetap bantu calon yang telah dicalonkan kerana kemenangan Barisan Nasional lebih penting. Lebih dari itu, calon yang menggantikan saya adalah kawan karib,” katanya.

Setiausaha MIC Melaka, Datuk P Panirchelvam menjadi pilihan MIC untuk bertanding DUN Gadek pada PRU kali ini menggantikan Mahadevan.

Mahadevan telah berjaya menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. rajendran pada PRU-13 dengan majoriti undi sebanyak 2,630.

Bagaimanapun, menurut seorang sumber dalaman MIC, Mahadevan juga dikatakan telah ‘memencilkan’ dirinya daripada menyertai aktiviti parti selepas krisis parti antara Palanivel dan Subramaniam.

“Beliau boleh bercakap tetapi pada masa yang sama, ramai juga bagaimana beliau mendiamkan diri selepas krisis,”tegasnya.