PUCHONG – Seorang wanita kerugian RM20,400.10 selepas ditipu broker kereta di Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bagi urusan pembelian kereta Perodua Alza.
Individu yang mahu dikenali sebagai Noor berkata, semuanya bermula apabila beliau mengenali seorang broker di internet pada Disember tahun lalu yang memperkenalkan dengan rakannya yang juga broker yang dikenali sebagai Saiful.
Jelas Noor yang bekerja sendiri, selepas pinjaman banknya diluluskan, beliau telah memasukkan sejumlah RM20,400.10 sebagai wang pendahuluan menerusi tiga transaksi ke dalam akaun peribadi Saiful pada 23 Januari lalu.
“Sebelum ini pun, kereta yang sedia ada saya berurusan dengan broker dengan memasukkan wang pendahuluan ke atas akaun peribadinya dan urusan mendapat kereta berjalan lancar.
“Namun kali ini, selepas dua minggu menunggu, saya belum mendapat kereta yang diidamkan itu. Akibat terlalu lama menunggu, pada 14 Februari lalu saya memberitahu Saiful agar memulangkan wang pendahuluan itu dan beliau berjanji menunaikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) di sini hari ini.
Noor menambah, Saiful memberi pelbagai alasan untuk menangguhkan urusan pemulangan wang pendahuluan termasuk memaklumkan namanya masih dalam senarai menunggu di Perodua.
Jelasnya, apa yang mengejutkan apabila beliau menelefon Perodua pada 23 Februari lalu, namanya tidak berada dalam senarai menunggu pelanggan yang ingin mendapatkan pemulangan wang pendahuluan.
“Selepas itu, Saiful mengaku beliau sedang membuat pinjaman peribadi untuk membayar semula wang pendahuluan saya, malah saya memberi peluang kepadanya untuk membayar secara ansuran.
“Namun Saiful terus memberi pelbagai alasan dan kali terakhir kami berhubung pada 23 Mac lalu dan sehingga hari ini beliau tidak menjawab pesanan dan panggilan saya.
“Akhirnya saya terpaksa membuat laporan di LPJKSM pada akhir Mac lalu dan juga laporan polis di Balai Ara Damansara hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Presiden LPJKM, Siti Nadiatulakma Saharuddin berkata, pihaknya telah menghantar notis kepada Saiful pada penghujung Mac lalu dan memberi tempoh selama 14 hari untuk berbincang secara baik menyelesaikan masalah tersebut.
Namun jelas beliau, semua surat yang dialamatkan kepada Saiful termasuk isteri dan ibu bapanya tidak mendapat jawapan dan pihaknya membantu Noor dengan membuat sidang media hari ini.
“Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai yang ingin membeli kereta agar berurusan terus dengan syarikat dan bukannya broker apatah lagi memasukkan wang pendahuluan ke dalam akaun peribadi broker,” katanya. – MalaysiaGazette