Tan Sri Noh Omar
Menteri Kesejahteraan Bandar,Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas Majlis Program Rakyat Sejahtera anjuran DUN N33 Taman Medan di Pangsapuri Petaling Utama, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 26 APRIL 2018.

PETALING JAYA – Penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) yang ‘melarikan diri’ ke kawasan lain dalam PRU-14 membuktikan mereka ‘menipu’ rakyat sejak dua penggal lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, penipuan ini juga membuktikan pemimpin PH hanya mahu undi semata-mata tanpa mempedulikan masalah rakyat khususnya perumahan pangsapuri terbiar ranpa pembelaan.

“Wakil rakyat Taman Medan, dia sudah tipu dua kali (penggal), sekarang dia lari ke Ampang, mahu tipu orang Ampang pula.

“Mana ada wakil rakyat pembangkang boleh tahan lebih dua kali? Semua lari, saya tunggu. Saya sudah lima kali (penggal) tiada lari punya, kali ini masuk enam kali saya bertanding.

“Saya tak lari, sebab kita tak tipu rakyat. Dia (PH) hanya nak dapat undi, bila dia dapat undi, rakyat dapat baldi, tinggal macam ini,” katanya berucap merasmikan Program Rakyat Sejahtera di pangsapuri Petaling Utama di sini hari ini.

Hadir sama calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Sementara itu, Abdul Mutalif pula kesal dengan sikap wakil rakyat pembangkang yang meninggalkan rakyat di kawasan yang dimenanginya dan melayan mereka bagaikan hampas.

“Dia (PKR) bukan mengundi di sini, dia undi kat luar. Mereka ini katak si katak lompat, dua penggal dia duduk sini ibarat, sudah makan tebu, hampasnya kau buang,

“Apa ingat rakyat di Taman Medan ini hampas? Cukuplah dengan sampah dia tak pandai jaga, dengan isu denggi selama 10 tahun memerintah, hampir 10,000 orang kena denggi berdarah dan meninggal dunia.

“Ini menunjukkan bahawa mereka gagal menjaga 10,000 rakyat di Selangor,” katanya pada majlis sama.

Mutalif berkata lagi, beliau optimis pengundi di DUN Taman Medan sudah sedar penipuan pembangkang dan akan kembali memberi mandat kepada BN.

Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim
Penolong Koordinator DUN Taman Medan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim bercakap kepada media selepas Majlis Program Rakyat Sejahtera anjuran DUN N33 Taman Medan di Pangsapuri Petaling Utama, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 26 APRIL 2018.

“Saya fikir keseluruhan rakyat begitu matang dan melihat siapa di sini yang buat kerja. Saya anak Kampung Medan, maka saya yakin orang kampung angkat calon tempatan kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast